Istiadat Pertabalan Sultan Perak



Istiadat Pertabalan dimulakan dengan DATO’ PENGELOLA BIJAYA DI-RAJA yang menatang AL-QURAN diiringi SAHIBUL SAMAHAH MUFTI KERAJAAN PERAK masuk ke Balairong Seri bersama RAJA CHIK MUDA PAWANG DI-RAJA yang menatang PEDANG CURA SI MANJA KINI dan didahului oleh PANGLIMA DALAM yang diapit oleh PANGLIMA PERANG KANAN dan PANGLIMA PERANG KIRI dan BENTARA-BENTARA di kiri dan kanan.

Apabila tiba di hadapan Singgahsana Dato’ Pengelola Bijaya di-Raja memohon ampun DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN untuk meletakkan AL-QURAN di atas meja khas.

Setelah memberi hormat, dulang berisi PEDANG CURA SI MANJA KINI dibawa naik oleh RAJA CHIK MUDA PAWANG DI-RAJA ke Singgahsana hingga ke tingkat dua, bertelut memohon ampun DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan menyembahkan PEDANG CURA SI MANJA KINI ke bawah DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN.

Baginda menerima pedang tersebut, menghunus mata pedang lalu mengucup. Selepas RAJA CHIK MUDA PAWANG DI-RAJA mengundur diri dari Singgahsana, TOH SERI NARA DI-RAJA berjalan masuk ke Balairong Seri dan terus naik ke Singgahsana hingga ke tingkat dua dan mempersembahkan MASTIKA EMBUN dan menyunting CAP HALILINTAR ke telinga kanan DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN sambil membisikkan “RAHSIA NISAB SULTAN I”. Kemudian diikuti pula dengan PENGISYTIHARAN PEMASYHURAN PERTABALAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN yang dibaca oleh ORANG KAYA BENDAHARA SERI MAHARAJA.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah dan berseru tiga kali “DAULAT TUANKU” berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir.

“Nobat Tabal” dipalu dan tembakan meriam dua puluh satu das dilepaskan. Selepas itu DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Apabila semuanya mustaid ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah, bertinggul dan mengangkat sembah DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN mohon izin perkenan untuk DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK mengadap. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI bangun mengangkat sembah DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN, bertelut dan mengangkat sembah. TOK RAKNA SENARI mengadap dan menyembah “BUNGA PENCAWA PENCARA” kepada DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN. Baginda mengambil dan menyematkan ke hulu DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI. Selepas itu DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI mengadap, mengangkat sembah dan mengucup tangan DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan seterusnya DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN mempersilakan DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI bersemayam semula diikuti dengan Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah lalu berseru tiga kali “DAULAT” berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Selepas Istiadat Pemasyhuran dijalankan, RAJA CHIK MUDA PAWANG DI-RAJA memulakan ISTIADAT MERENJIS AIR “PANCA BICARA” DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI.

Selesai sudah ISTIADAT MERINJIS AIR “PANCA BICARA”, Istiadat diteruskan dengan penyembahan dan bacaan Ucapan Tahniah oleh DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA bagi mewakili Raja-Raja dan Orang Besar Perak, dan Persembahan Ucapan Tahniah dan Taat Setia daripada YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR PERAK bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Perak.

Istiadat Pertabalan diakhiri dengan TITAH UCAPAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan DOA SELAMAT oleh Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak.

Sehari selepas Tabal Adat, dilaksanakan pula Istiadat Tabal Pusaka dan pada hari berikutnya DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI akan berangkat menziarahi MAKAM-MAKAM DI-RAJA yang terletak di seluruh Negeri Perak. Disebabkan kebanyakan MAKAM-MAKAM ini terletak di tebing Sungai Perak, DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN akan berangkat menaiki BALAI GAMBANG bernama “CEMPAKA SARI” yang dibina khas bagi tujuan tersebut. Istiadat menziarahi MAKAM-MAKAM DI-RAJA ini diakhiri dengan Istiadat menziarahi BETING BERAS BASAH di Kuala Sungai Perak sebagai mengingati sejarah Sultan Perak Yang Pertama, Sultan Mudzaffar Shah (1528-1549).

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan komen