Orang Melayu suka jaga tepi kain orang.

Jaga tepi kain orang. Peribahasa Melayu ni membawa maksud sibuk nak ambil tahu hal orang.Sebenarnya ia boleh dilihat dalam dua cara yang berbeza.

Dalam menjaga persekitaran umat yang sentiasa mentaati Tuhannya, maka perlu kita untuk menjaga ‘tepi kain orang’. Bayangkan kalau sudah hari-hari anak dara sebelah rumah bawak balik lelaki siap tukar-tukar lain hari lain orang, patutkah kita ambil prinsip “jangan jaga tepi kain orang lain?” Buatnya yang dibawak masuk tu abang adik kita, suami kita?. Alasan penting adalah saling menjaga, melihat dan mengawasi tetangga agar sama-sama kita hidup dalam persekitaran agama yang sihat. Bila rukun tetangga kita suci dari maksiat, agak-agak apa rasa hati kita? Tengok muka jiran sebelah, teringat nak ke surau bersama, nak lepaskan anak main di halaman pun tak risau sebab tahu jiran-jiran baik belaka.

Pernahkan terbaca? Apa jadi kalau rumah kita tersergam indah macam istana makan ala-ala buffet hari-hari. jiran sebelah pulak hari-hari bancuh tepung buat lempeng sebab tak cukup duit nak beli beras?

Untuk jadi tetangga yang baik, jangan pentingkan diri dan sombong. Takkan habis tempat di syurga tu, apa salahnya ajak ramai-ramai masuk syurga?.

Menjaga tetangga bukan bermaksud mencari keaibannya. Sebab tu ada yang menambah “jaga tepi kain orang, bukan selak masuk dalam kain dia.” Ada antara kita yang susah payah mencari gosip-gosip hangat, seperti mengungkit kembali kesalahan silam orang walaupun dia sudahpun bertaubat.. Lebih parah lagi, boleh pula kita ‘mencipta’ cerita-cerita palsu asalkan ada pekara yang boleh dibincangkan.

Elok-elok aman rumah tangga orang dek kerana mulut kita yang celupur terus berkocak pula. Padahal aib orang kita kena makan dan telan, simpan dalam-dalam. Aib yang boleh disuarakan ni contoh kalau dia terlupa nak tutup kain ke bolehlah pergi bagitau. Bagitau tuan punya badan, bukan bagi tau orang kiri kanan, lepas tu gelak ramai-ramai.

Perihal yang “kami ambil perhatian sebab tu kami ambil tahu” sebenarnya alasan yang ridiculous. Kalau benar-benar ambil berat, tak perlulah duduk berbincang macam di mahkamah, cukup sekadar pergi dekat orang terbabit, cuit bahu dia pelan-pelan dan bisikkan di telinga. “eh aku rasa si polan tu dah beristeri, kau janganlah layan uratan dia.” bukan “Eh kau tahu anak dara si Gayah tu gatal meroyan dengan lelaki orang?”.

Posted in Uncategorized | 2 Komen

Orang Melayu suka nyambal

Siapa yang tidak kenal dengan sambal belacan. Ia merupakan makanan ringkas yang dicampur dengan nasi beserta ulam-ulaman sebagai pengalak selera makan. Apatah lagi jika di sertai dengan ikan sepat kering.

cara cara menyambal.

Bahan-bahan (untuk keperluan 4 kepala )

1.Cili merah 6btg (buang biji & hiris halus)
2.Bawang Jepun 1 biji (hiris halus)
3.limau nipis atau tebal 1-2 biji (perah airnya)
4.Belacan 1 sudu teh
5.Gula & Garam secukup rasa

Menyambal

Masukkan cili, bawang yang dihirs dan belacan dalam lesung batu.
Tumbuk hingga lumat , masukkan gula dan garam, tumbuk lagi dan lagi itulah yang disebut nyambal.
setelah itu masukkan air asam limau atau asam jawa, menurut kemasaman memasing.

Sebenarnya bau sambal belacan ni pun sudah cukup untuk mengancam selera makan, tambahan pula disetai dengan ulam untuk mengulam.

Orang Melayu jika dapat menyambal dan mengulam, tak sedar mentua lalu, katanya.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Burung kesukaan orang Melayu

Burung merbuk adalah diantara kesukaan orang Melayu. Menjaga burung merbuk tidak lah sukar sangat. Pekara yang asas hanyalah beri makan minum, menjaga kebersihannya dan jemur. Cuma kalau kita bercakap mengenai pertandingan, selain dari 3 pekara asas tadi kita juga perlu training, belaian serta kawasan yang sesuai untuk burung dan sebagainya.

Makanan & Minuman perlulah diberi dari jenis yang baik-baik. Kambu, sekoi, padi, pulut hitam, kacang hijau dan lain-lain jenis makanan perlulah ditapis, dijemur atau di basuh dahulu. Seelok-eloknya makanan itu di campur dengan sedikit telur ayam kampung dan madu untuk menjaga kesihatan burung. Makanan di dalam mangkuk juga jangan lah dibiarkan lama, perlu dibersihkan untuk membuang segala habuk dan kotoran. Ditakut burung akan terhidu habuk, dan menganggu saluran penafasan burung. Air bolehlah diberi sekadar air masak, air hujan atau air mineral bagi mereka yang mampu. Teruskan membaca

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Pantang orang Melayu

Pantang larang orang Melayu adalah sebagai panduan dan juga untuk mendidik tidak kira tua atau muda kearah yang lebih baik. Ada pantang larang yang masih kita ikut kerana mungkin terjadi secara kebetulan. Diantara yang penulis selalu nasihatkan kepada anggota wataniah yang baru. Sebelum masuk kedalam hutan jangan cakap besar. Jangan buang tuala wanita dan kencing merata-rata. Baca doa keselamatan dan doa perjalanan. InsyaAllah selamat pergi dan balik menjalani latihan hutan. Bukan senang nak jaga anggota sukarela yang terdiri dari pelajar-pelajar Politek dan Kolej. Itu cerita empat tahun yang lalu.

Pantang larang orang Melayu merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman.

Diantara pantang larang Melayu.

1. “Jangan duduk di atas bantal, nanti akan naik bisul di ponggong”. Sebenarnya kita dilarang sama sekali duduk di atas bantal kerana bantal ialah tempat kita meletakkan kepada sewaktu tidur. Memang tidak senonoh perangai meletakkan ponggong di atas bantal. Dengan menggunakan ponggong kita duduk di merata tempat tidak kira tempat itu kotor atau bersih. manusia juga mengeluarkan najis menerusi lubang di anatara kedua-dua belah ponggong.

2. “Orang perempuan jangan menyanyi di dapur, kalau menyanyi di dapur akan dapat suami tua”. Kalau difikirkan secara logik perempuan muda tidak akan hendak bersuamikan orang-orang tua. Tapi jika dapat Tan Sri dan Dato-Dato yang loaded apa salah.. Mertua pun tumpang senangkan..kan..kan. Menerusi pantang larang ini orang perempuan dilarang menyanyi di dapur kerana sewaktu menyanyi boleh terleka. Manusia sukar untuk melakukan dua perkara dalam satu masa dengan sempurna. Jika menyanyi sewaktu menghiris bawang dibimbangi jari terluka. Jika menyanyi sambil memasak makanan ditakuti ada rencah-rencah tertentu yang tidak dibubuh dalam masakan. Akibatnya makanan yang dimasak tidak sempurna. Kesannya ahli keluarga atau sesiapa yang makan makanan tersebut akan tidak berselera.

3. “Orang mengandung jangan memukul ular, nanti anak yang dilahirkan akan cacat atau tidak sempurna sifatnya”. Bini penulis tak mengandung pun tengok gambar ular pun dah melatah. Orang perempuan yang mengandung tidak boleh melakukan perkara yang lasak contohnya memukul ular. Jika seseorang memukul ular dia akan pukul dengan penuh geram dan sekuat hati. Jika perbuatan ini dilakukan oleh perempuan yang mengandung dibimbangi anak yang berada dalam kandungan akan mengalami keguguran. Ditakuti juga orang yang mengandung akan terjatuh. Akibatnya akan berlaku kecederaan kepada ibu dan mungkin juga kepada anak dalam kandungan.

4. “Jangan makan waktu senja, nanti semangat padi akan hilang”. Maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada orang Melayu ialah Seisi keluarga hendaklah makan bersama-sama iaitu selepas sembahyang Maghrib. Dengan cara ini akan mengeratkan tali selaturahim sesama ahli keluarga. Anak yang masih remaja dilarang makan awal dibimbangi lauk tidak mencukupi untuk ahli keluarga yang lain. Lauk yang ada perlu dikongsi bersama. Masyarakat Melayu zaman dahulu jarang menyediakan lauk yang banyak kerana ingin berjimat. Pendapatan yang diperolehi tidak lumayan. Mereka perlu menabung duit untuk pergi ke tanah suci Makkah.

Pantang Larang Wanita Hamil. Yang ini banyak terjadi secara kebetulan atau pembalasan.

1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.

2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.

3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan. Teruskan membaca

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Orang Melayu mudah sawan

Sawan adalah keadaan di mana berlakunya renjatan elektrik di otak di luar kawal yang mengakibatkan:

Sindrom perubatan untuk sawan yang berulang-ulang tanpa diberangsangkan dipanggil epilepsi, bagaimanapun sawan boleh berlaku pada mereka yang tidak mempunyai epilepsi.
Sawan demam

Sawan demam adalah:

sawan yang berlaku apabila suhu melebihi 380C.
ia biasanya berlaku pada hari pertama atau kedua demam.
pada kebiasaannya berlaku kepada mereka dalam lingkungan umur 6 bulan sehingga 6 tahun.

Sebab sawan demam: Demam terlalu tinggi, kebanyakannya berpunca daripada:

jangkitan bahagian atas salur pernafasan
atau jangkitan telinga (penyakit otitis media) dan lain-lain.

Jika sawan berlaku melebihi 15 minit, ia boleh mengakibatkan kecacatan otak.

30% sawan demam boleh berulang. Sawan demam juga berkait dengan keturunan. Sekiranya terdapat ahli keluarga yang pernah mengalami sawan demam semasa kecil, risikonya adalah tinggi.

Hanya segelintir kecil kanak-kanak yang mendapat sawan demam berulang-ulang dan berpanjangan berkemungkinan mendapat epilepsi.

Cara mengenali sawan demam:

Badan terasa panas.
Badan dan kaki tegang
Kaki dan tangan mungkin tersentak-sentak tanpa rangsangan
Mungkin terjatuh
Mulut berbuih
Terbuang air kecil
Tertidur dan tidak sedarkan diri seketika. Apabila terjaga juga kelihatan bingung seketika, kemudian kembali aktif.

Perkara yang harus dilakukan:

Lakukan mandi berjelum.
Tanggalkan pakaian, pakaikan baju nipis sahaja.
Berikan ubat demam (paracetamol) sebagaimana yang diarahkan
Pasangkan kipas atau beri peredaran udara yang baik.

Ketika sawan

Anda harus bertenang.
Mengiringkan badan anak anda
Jauhi barang-barang merbahayadi sekitarnya
jangan tinggalkan apa-apa di dalam mulut
Jangan tinggalkan anak anda bersendirian
Sekiranya serangan sawan berpanjangan melebihi 5 minit, bawa anak anda ke klinik dengan segera.

Sawan babi (Epilepsi)

Otak manusia terdiri dari jutaan sel saraf (neuron), yang bertugas menyelaraskan semua aktiviti tubuh termasuk perasaan, penglihatan, berpikir, dan pergerakan otot.

Pada pesakit Epilepsi, kadang-kala sinap-sinap, tidak berfungsi seperti sepatutnya. Hal ini dapat diakibatkan oleh berbagai unsur-unsur, antara lain; trauma kepala (pernah mengalami cedera di daerah kepala), tumor otak, dan lain sebagainya.

Umumnya Epilepsi mungkin disebabkan oleh kerosakan otak dalam proses kelahiran, luka kepala, strok, tumor otak, alkohol, dadah dan sebagainya. Kadang-kadang, Epilepsi mungkin juga kerana genetika, Epilepsi bukan semestinya penyakit keturunan. Penyebab pastinya masih belum diketahui.
Diagnosis

Hippocrates adalah orang pertama yang berhasil mengidentifikasikan gejala Epilepsi sebagai masalah pada otak, roh jahat, dan sebagainya. Seseorang dapat dinyatakan diderita Epilepsi jika orang tersebut telah mengalami kejang yang bukan disebabkan oleh alkohol dan tekanan darah yang sangat rendah. Alat bantu yang digunakan ialah:

MRI (Magnetic resonance imaging) Menggunakan magnet yang sangat kuat untuk mendapatkan gambaran dalam tubuh/otak seseorang. Tidak menggunakan Sinar-X. MRI lebih peka daripada CT Scan.
EEG (electroencephalography) alat untuk memeriksa gelombang otak.

Pengubatan

Berikut adalah nama-nama ubat yang selalu dipakai untuk menyembuhkan Epilepsi. Semua ubat harus dirujuk terlebih dahulu ke doktor.

Carbamazepine, Carbatrol, Clobazam, Clonazepam, Depakene, Depakote, Depakote ER, Diastat, Dilantin, Epilim, Felbatol, Frisium, Gabapentin, Gabitril, Keppra, Klonopin, Lamictal, Lyrica, Mysoline, Neurontin, Phenobarbital, Phenytek, Phenytoin, Sabril, Tegretol, Tegretol XR, Topamax, Trileptal, Valproic Acid, Zarontin, Zonegran, Zonisamide.

Selain dengan menggunakan ubat, epilepsi juga dapat dirawat dengan diet ketogenik.

Posted in Uncategorized | 1 Komen

Orang Melayu terkenal dengan belacannya

Belacan telah dihasilkan oleh orang Melayu sejak sebelum 1805 lagi. William Marsden, turut memasukkan perkataan Belacan dalam bukunya “A Dictionary of the Malayan Language” terbitan tahun 1812.

Belacan sedap pada rasa, warna, rupa dan yang paling istimewa pada baunya. Semerbak hingga terhidu dek jiran sebelah-menyebelah dan terbuka selera makan. Lebih-lebih lagi jika ia dibakar, baunya lebih menusuk ke lubang hidung. Enaknya belacan tambahan pula bila dimakan dengan mangga muda, kecur liur dibuatnya. Tidak hairanlah ramai yang menambah nasi dan berselera bila dihidangkan dengan sambal belacan. Ada juga yg kurang selera makan jika tak dapat sambal belacan.

Tidak diketahui dari mana asalnya belacan kerana hampir semua negara di rantau Asia mengeluar dan memproses belacan. Sama ada dijadikan sebagai makanan atau dipasarkan. Besar kemungkinan ia dibawa masuk ke negara ini melalui para pedagang atau pendatang negara luar yang terus bermastautin di sini. Berdasarkan kehidupan seharian di Asia Tenggara, kebanyakan penduduk tertumpu di kawasan pinggir pantai sebagai kawasan penempatan. Di sini perolehan makanan didapati daripada sumber laut. Ini termasuk udang dan ikan. Oleh kerana udang datang bermusim dalam jumlah yang banyak, sesuatu harus dilakukan agar udang boleh dimakan dalam jangkamasa yang panjang. Jadi, cara yang terbaik ialah dengan cara mengawet. Belacan dibuat melalui pengalaman para nelayan yang pada mulanya hanya sekadar menjadikannya sebagai makanan tambahan. Oleh kerana sambutan yang menggalakkan dan perisa yang diminati, setiap kali datang musim, udang diperam untuk dijadikan belacan.

Belacan merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang kara yang dimampatkan dan tahan lama. Belacan diproses daripada udang geragau atau isi udang laut yang bersaiz kecil dan setelah apabila siap diproses boleh disimpan lama untuk kegunaan masakan. Belacan mentah berbau agak busuk dan perlukan kaedah pembungkusan atau penyimpanan yang baik untuk mengurangkan bau belacan. Walau pun kaedah memproses belacan kebanyakannya masih ditahap asas atau tradisional di Malaysia tetapi beberapa orang usahawan telah berjaya untuk mengkomersilkan kaedah pembuatan belacan untuk dijual.

Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan. Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. however, Maupun begitu, sekiranya dibakar, belacan mengeluarkan bau yang sungguh kuat.

Belacan juga merupakan salah satu bahan bagi menghasilkan sambal belacan, iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumat dengan menggunakan belacan dihasilkan daripada udang dan ada juga yang dihasilkan dari ikan.

Cara membuat belacan bermula dengan mendapatkan bahan mentah utama iaitu udang. Ia berbeza bagi setiap tempat iaitu di Melaka dan Kukup, Johor mereka menggunakan udang geragau manakala di Pulau Pinang dan di Sarawak dan Sabah mereka akan menggunakan udang kecil. Udang ini dibersihkan dari kekotoran seperti tanah, pasir, batu dan buang kulit kepala bagi udang yang agak besar dan keras untuk mendapatkan isinya. Gunakan garam berkualiti dari jenis Garam Halus yang bersih dan putih. Secara tradisional kadar garam yang digunakan adalah sebanyak 10% daripada kuantiti isi udang yang hendak digunakan. Contohnya jika kita mempunyai sebanyak 50 kilogram udang maka sebanyak 5 kg garam halus digunakan untuk dapatkan belacan yang berkualiti.

Cara membuat belacan berbeza mengikut jenis udang dan teknologi pengeringan serta jenis alatan memproses yang digunakan. Di Melaka, pembuat mengaulkan bahan udang dengan garam halus sehingga rata. Susun atau letakkan udang yang telah dicampur garam diatas lantai jemuran (Nyiru atau tikar pandan yang sesuai) setebal 1.0-1.5 cm (Lihat foto sebelah). Udang ini dijemur sehingga menjadi separuh kering. Langkah seterusnya adalah untuk mengisar udang bergaram separuh kering tadi sehingga separuh hancur dengan sedikit air. Ada yang menumbuk dalam lesung jika tiada mesin kisar (Kaedah Tradisional). Kemudian campuran tadi dimasukkan kedalam kain dan dimasukkan kedalam bekas atau tong dan ditindih dengan pemberat untuk mempadatkannya dan diperam selama satu minggu ditempat sesuai.

Selepas dipadatkan selama satu minggu keluarkan dari bungkusan kain dan jika masih agak basah jemur lagi. Kemudian campuran tadi dikisar sekali lagi sehingga mendapatkan ramuan yang lebih halus dan ulang semula membungkus dalam kain dan dipadatkan dan diperam selama seminggu lagi. Setelah itu ulang cara tersebut beberapa kali dan proses pembentukkan belacan dibuat sama ada Bentuk Bulat Leper (diameter antara 20 – 50 cm dengan ketebalan 1.5 – 3.0 cm) atau bentuk bongkah. Jemur belacan ini sehingga agak kering dan sesuai untuk dibuat penggreddan dan seterusnya dibungkus, di label dan boleh dipasarkan. Keseluruhan proses membuat belacan adalah antara 3 minggu (proses mudah) sehingga 8 minggu (menggunakan bahan udang besar) dan bergantung kepada jenis peralatan untuk memproses yang digunakan.
Isu-isu berkenaan belacan

Belacan yang dijual di kedai runcit, di tepi jalan atau pun di pasaraya lazimnya dihasilkan oleh pengusaha tempatan. Pengguna harus bijak dalam memilih dan membeli belacan dengan memeriksa bungkusan, tarikh tamat tempoh, tanda halal, nama pembuat dan juga baunya. Ada sesetengah pembuat belacan tidak menjaga kebersihan ketika menjemur belacan yang diletakkan di atas tanah sahaja atau di atas para yang rendah dan binatang seperti anjing, ayam kucing serta lalat lalu lalang dan singgah merasa belacan dijemur tersebut. Peminat belacan juga diminta berhati-hati kerana ada pengusaha mencampurkan bahan pewarna berbahaya seperti ‘Rhodamine B’ yang boleh menyebabkan kanser untuk mencantikkan warna belacan yang lebih menarik. Pilih belacan yang telah dibungkus dengan baik dan ketat serta dilabel dengan lengkap untuk dirujuk. Antara jenama belacan popular di Malaysia seperti Belacan Melaka, Belacan Penang, Belacan Bintulu dan juga Belacan Sabah.

Posted in Uncategorized | 1 Komen

Sokong kempen internet blackout

(Sokong kempen internet blackout bagi membantah Seksyen 114A)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyokong kempen “Hari Internet Blackout” yang diusahakan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia sebagai bantahan terhadap Seksyen 114A pindaan terbaru Akta Keterangan 2012.

Ketika Harakahdaily mengambil pendekatan menyiarkan iklan ‘pop up’ kempen ini, pelbagai media lain terus tidak mengemaskinikan sebarang kandungan laman masing-masing hari ini.

Dap mengambil sikap menghentikan terus sebarang aktiviti melalui laman web, twitter dan facebooknya hari ini.

Media Selangorku, laman web rasmi kerajaan negeri Selangor pula tidak menyiarkan sebarang berita bermula awal pagi ini hingga ke tengah malam esok.

Sebagai pengamal media yang telus dan bertanggungjawab, Media Selangorku berpendapat Pindaan terhadap Akta tersebut yang diwartakan 31 Julai lalu akan menyekat kebebasan media internet, kata satu kenyataan dalam laman itu hari ini.

Menurut CIJ Seksyen 114A jelas bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya.

Pindaan yang baru ini boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada seluruh pengguna internet dan pihak yang terlibat dalam industri tersebut.

Setiap pemiliki akaun Facebook, Twitter, blog atau forum akan dipertanggungjawabkan atas setiap isi kandungan yang terdapat di laman-laman tersebut, termasuk komen dan artikel yang ditulis oleh pihak lain.

Selain itu, pembekal perkhidmatan Wifi juga akan dikenakan tindakan jika ada pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan tersebut.

Lebih malang lagi, jika rangkaian Wifi perseorangan dicuri atau digodam, tuan punya rangkaian itu akan bertanggungjawab atas segala yang dilakukan oleh pencuri terbabit.

Jika ada pihak yang mencipta akaun Facebook, Twitter atau emel menggunakan nama seseorang tanpa pengetahuan individu itu, Seksyen 114a masih akan menganggap bahawa beliau pemilik sebenar akaun terbabit.

Akta yang baru dipinda ini sebenarnya bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat daripada mengemukakan pendapat mereka di internet.

Hal ini juga mengancam kebebasan berinternet di negara kita, kata kenyataan dalam laman Selangorku itu.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR pada 9 Ogos lalu, Pakatan menyatakan sokongan penuh terhadap “Hari Internet Blackout”.

“Ia selaras dengan penentangan yang dibuat terhadap Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru bagi Akta Keterangan 2012 yang menyekat kebebasan berinternet,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

CIJ berkata kempen ini bertujuan untuk menyedarkan para pengguna Internet tentang kesan negatif pindaan ini terhadap kebebasan berinternet.

Pada hari Internet Blackout tersebut, semua laman web yang mengambil bahagian akan ditutup dan tidak dapat diakses dalam masa 24 jam.

Pengguna juga akan dapat melihat paparan yang mempunyai mesej kempen tersebut apabila cuba mengakses laman web tersebut.

“Kita harap semua penyokong Pakatan Rakyat dan pemimpin turut sama dalam kempen tersebut mengelapkan internet tanpa sebarang informasi.

“Dengan cara ini sahajalah kita dapat menunjukkan kepada kerajaan tentangan kita terhadap akta tersebut,” sambungnya lagi.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Orang Melayu suka latah

Kalau kita sering ke majlis rewang kenduri perkahwinan waktu dahulu, pasti ada sekurang-kurangnya seorang perempuan setengah abad yang suka melatah. Latah biasanya dikaitkan dengan wanita yang berusia namun masih boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia dan latar belakang sosial. Rasanya, suatu majlis keramaian atau kenduri kahwin bagaikan kurang serinya tanpa individu yang melatah. Hari ini, masih ramai yang melatah kerana latah telah dianggap sebagai sindrom budaya masyarakat Melayu.

Latah ialah tindak balas yang spontan apabila seseorang itu terkejut. Orang yang melatah ini akan menyebut perkataan atau meniru tingkah laku orang lain di sekelilingnya terus-menerus, berulang-ulang. Sekiranya orang yang menyakat itu terus mengusik orang yang melatah, latahnya akan menjadi-jadi sehinggakan dia seperti di alam bawah sadar, hilang kawalan diri lalu mengerjakan segala yang diperintah. Kadangkala, orang yang melatah ini boleh membahayakan orang lain di sekitarnya jika dia memegang benda merbahaya atau senjata tajam.

Masyarakat Melayu menganggap ‘melatah’ adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dihindari. Tanggapan begini bersebabkan latah sudah sebati dalam jiwa Melayu dan menjadi tradisi budaya.

Menurut Najibah HAssan dalam tulisannya mengenai ‘Latah’, Profesor Dr. Mohd. Razali Salleh (USM) mengatakan bahawa pakar perubatan bersetuju latah bukanlah tergolong sebagai kecelaruan mental. Laporan sebuah akhbar Indonesia, Minggu Pikiran Rakyat, juga menyatakan latah merupakan satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit. Namun, latah dipercayai berkait rapat antara fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Latah dipercayai terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat.

Di Indonesia, gangguan latah berkembang pada suku-suku di Pulau Jawa, Sumatera dan pedalaman Kalimantan. Latah juga ditemui di beberapa wilayah Asia lain seperti pada masyarakat suku Ainu di Jepun dan masyarakat gurun di Gobi iaitu sempadan antara China dan Mongolia. Di Eropah, latah juga ditemui pada suku masyarakat Perancis.

Pensyarah Encik Ramli Rahman (UM) dan Profesor Hashim Awang (UM), ketika ditemui menegaskan, latah tidak hanya berlaku di kalangan masyarakat Melayu. Latah juga terdapat dalam budaya orang India dan orang Eskimo. Tingkah laku ‘latah’ ini bermula semenjak budaya ‘berkutu’ zaman dahulu. Sewaktu berkutu, wanita-wanita Melayu akan duduk berbaris dan saling mencarikan kutu di rambut orang di hadapan. Sewaktu mencari kutu itu, mereka saling mengusik untuk menghiburkan diri. Begitu juga dengan budaya orang Eskimo. Mereka juga tidak terkecuali dengan sindrom budaya masyarakat yang dikenali sebagai piblokto.

Disebabkan latah boleh mengakibatkan seseorang hilang ingatan, masyarakat lain selalu menganggap latah sebagai penyakit hilang ingatan seperti skizofrenia. Namun jika dibandingkan dengan penyakit mental seperti skizofrenia, latah tidak pernah menjadi stigma kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang melatah. Malahan, latah menjadi perhatian ramai dan sangat menghiburkan.

Sungguhpun latah dianggap menghiburkan, melatah boleh memudaratkan individu itu kerana pergerakan fizikal yang keterlaluan. Individu yag melatah itu boleh berasa lelah dan mengah sehingga membahayakan diri.

Dewasa ini, ‘latah’ boleh membawa makna yang lain iaitu perbuatan seseorang yag cepat terasa dan menjadi marah apabila dirinya ‘dijolok’ dengan cerita yang membabitkan maruah diri.

Kesimpulannya, melatah masih ada dalam masyarakat Melayu biarpun makin berkurangan. Latah bukan suatu penyakit tetapi janganlah kita jadikan latah suatu penyakit hati pula.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Orang Melayu tidak yakin dengan bahasanya

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP Abdul Ghapar Abdullah berkata sikap tidak bangga, tiada kesedaran dan kurang jati diri bangsa menyebabkan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan terjejas.

Beliau berkata DBP memang bertanggungjawab memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan betul tetapi sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada tidak menggunakan Bahasa Malaysia.

“Contohnya samalah dengan kempen Ops Sikap yang dilaksanakan polis. Walaupun pelbagai usaha dan kempen yang dilakukan, kemalangan tetap berlaku dan ia berpunca dari sikap pengguna jalan raya.

“Begitu juga dengan DBP yang melaksanakan pelbagai program untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan tetapi orang ramai masih juga menggunakan bahasa rojak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata DBP tidak boleh menghalang dan menguatkuasakan atau mendenda orang yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan, tetapi apa yang boleh dibuat ialah membantu sekiranya mereka tidak begitu arif dengan penggunaannya.

Untuk program Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan ini, Abdul Ghapar berkata kira-kira 300 program khusus diadakan di seluruh negara dan ia tidak termasuk program dan kempen yang dilaksanakan DBP sepanjang tahun.

Bahasa bercampur

“DBP sedia membantu mana-mana pihak yang mahu menggunakan khidmat nasihat untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan betul, sama ada menerusi bengkel atau seminar,” katanya.

“Penyiar iaitu media cetak atau elektronik termasuk radio swasta banyak menggunakan bahasa bercampur. Jadi dalam konteks ini kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Namun untuk penyiar yang tidak mempunyai kepakaran, DBP sedia membantu di mana yang perlu,” katanya.

Mengambil contoh penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul di papan-papan iklan pula, beliau berkata DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan kerana yang ada kuasa ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau kesal banyak orang Melayu sendiri yang tidak mempunyai keyakinan, jati diri dan rasa bangga untuk menggunakan Bahasa Malaysia dalam perhubungan sehari-hari.Menurutnya dalam pelbagai mesyuarat rasmi juga kadang-kadang Bahasa Malaysia tidak digunakan sepenuhnya.

“Kita nak beritahu, Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan dan bukannya bahasa orang Melayu sahaja. Jadi setiap rakyat Malaysia perlu mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan itu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Papan iklan

Di pihak DBP, katanya, pada laman sesawang DBP (dbp.gov.my), pelbagai usaha dipaparkan untuk memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul di bawah tajuk perkhidmatan antara lainnya – Khidmat Nasihat Bahasa, Pedoman dan Panduan Bahasa Melayu dan Pantau Tegur Bahasa.

Menurutnya, Pantau Tegur Bahasa mengajak rakyat bersama-sama berusaha mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar atau pun di dalam bangunan, yang mesti dicegah segera untuk mengelak mencemarkan maruah Bahasa Kebangsaan.

“Antara ciri pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz atau warna, penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pembentukan kata, pengolahan ayat, dan penggunaan laras, atau pun mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris,” katanya.

DBP dalam menyempurnakan tugas dan tanggungjawabnya pastinya akan terus menerus melaksanakan pelbagai kempen dan program bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan, suatu usaha yang mungkin tidak berpenghujung.
Para pencinta dan penggiat Bahasa Kebangsaan pula akan terus menyuarakan pandangan demi pandangan, yang semuanya bernas, tentang bagaimana Bahasa Kebangsaan boleh dimartabatkan, dijadikan bahasa ilmu dan bahasa perniagaan baik di peringkat dalam negara mahupun hingga ke luar negara.

Namun, tanpa kesedaran dan perubahan sikap di kalangan semua rakyat Malaysia, sukar untuk menentukan bila masanya Bahasa Kebangsaan sudah mencapai martabatnya yang seharusnya.

Bagi, pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan Dr Awang Sariyan, sikap dan penerimaan masyarakat terhadap Bahasa Kebangsaan merupakan topik penting yang kerap dibincangkan setiap kali memperkatakan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.

Menimbulkan keghairahan

Katanya, proses globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan di kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan Bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan Bahasa Melayu. Menurut beliau, ia terjadi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat sama ada pemimpin, profesional dan orang awam.

“Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berhubung kait dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” katanya dalam sebuah tulisannya.

Ada kebimbangan yang nyata di sebalik tulisan bekas penyandang pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing Foreign Studies University dan bekas Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Penyair dan pencinta Bahasa Kebangsaan Dr Ibrahim Ghafar, yang menyetujui pandangan Dr Awang, berkata di situlah letaknya sikap yang salah di kalangan masyarakat yang mengaitkan penggunaan Bahasa Malaysia secara negatif dengan taraf sosial dan pendidikan serta nilai ekonomi.

Bersosial rendah

“Seolah-olah Bahasa Malaysia hanya layak dituturkan oleh mereka yang bertaraf sosial rendah, berpendidikan tidak tinggi. Apatah lagi bila menganggap Bahasa Kebangsaan tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, hilanglah jati diri bangsa kita,” katanya.

Beliau berkata seharusnya rakyat menanam sikap ‘marilah bersama-sama kita menambah nilai ekonomi Bahasa Kebangsaan’ dengan menuturkannya secara meluas, menggunakan dalam urusan rasmi dan perniagaan dan mempelbagaikan aktiviti yang boleh mendorong kecintaan kepada Bahasa Kebangsaan.

“Biar apapun keturunan kita, sebagai rakyat Malaysia kitalah yang harus berperanan memberi nilai tambah kepada Bahasa Kebangsaan kita kerana ia bukan milik satu bangsa sahaja tetapi milik keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Ahli parlimen kawasan Kepong Dr Tan Seng Giaw pula melihat usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan wajib dimulakan dari awal sejak di bangku sekolah lagi dengan memastikan kualiti dan kemahiran guru-guru yang mengajarnya termasuk di semua sekolah jenis kebangsaan.

Dr Tan yang bangga fasih berbahasa Melayu dan boleh pula membaca dan menulis Jawi, berkata latihan awal penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik ibarat membentuk buluh daripada rebungnya lagi dan boleh dilihat kesannya apabila murid-murid itu membesar sebagai penutur yang baik.

“Saya tidak pernah berhenti menimbulkan hal ini di Parlimen. Kita harus melihat semua sisi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kebangsaan termasuk usaha meningkatkan standard dan penguasaan di kalangan guru. Ingatlah Bahasa Jiwa Bangsa,” katanya.

Posted in Uncategorized | 1 Komen

Orang Melayu terkenal dengan janjinya

Mat bertanya kepada Abu “pukul berapa nak pi kuliah nih” Abu menjawab “aku tungu hang kat luaq dewan tepat pukul 9.00 malam”. Lalu Mat bertanya dengan nada sinis “janji Islam ka janji melayu nih?”

Dalam blog seorang Muslimah pula beliau menulis: “Janji berkumpul tepat pukul 9.00 pagi (untuk hari keluarga) tapi pukul 9.00 pagi masih duk makan pagi kat RnR. Alah biasalah janji melayu”

Adakah anda seorang melayu yang mempunyai sikap seperti di atas?

Kenapa ‘janji melayu’ jika mungkir janji??? Adakah orang melayu terlalu teruk sehingga tak boleh dipercayai akan janji mereka? Saya bertanya kepada anda wahai orang melayu tidak malukah anda menggunakan perkataan ‘janji melayu’ bagi janji yang dimungkiri?

Di negeri lain saya kurang pasti tetapi di tempat saya inilah istilah yang digunakan bagi mereka yang mungkir janji.

Bagi saya ungkapan ‘janji melayu’ adalah memalukan dan satu penghinaan kepada bangsa melayu yang beragama Islam. Anda wahai orang melayu menghina diri sendiri dengan mengunakan ungkapan tersebut.

Rasulullah bersabda(Maksudnya):

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga: apabila dia berbicara niscaya dia berbohong, apabila dia berjanji niscaya mengingkari, dan apabila dia diberi amanah niscaya dia berkhianat.” [Shahih Muslim, no 89]

Lihatlah hadis di atas betapa seriusnya kesalahan mungkir janji dalam Islam. Islam menuntut umatnya sentiasa menepati janji dan bersikap amanah dengan janji yang dibuat.

Jadi saya tidak rela saudara saya yang berbangsa melayu dihina dengan ungkapan ‘janji melayu’. Orang melayu yang merupakan umat Islam mejoriti di Malaysia wajib menunjukkan contoh tauladan yang baik bagi menonjolkan keindahan Islam yang sebenar.

Tulisan ini adalah atas dasar kasih sayang sesama kita umat Islam. Janganlah sampai ada Non Muslim di luar sana menjadi bosan dan buruk sangka terhadap Islam akibat sikap sesetengah daripada kita yang suka mungkir janji tidak kira dalam apa urusan sekalipun seperti menepati masa, menepati dalam urusan pembayaran hutang dan sebagainya.

Dalam urusan masa contohnya. Amat penting untuk umat Islam menepati masa. jangan biarkan orang yang anda janji untuk berjumpa tertungu-tungu kerana anda tidak menepati masa. Jika anda tidak dapat hadir dalam tempoh masa yang ditetapkan akibat faktor yang tidak mampu dielakkan, mohon maaflah dan maklumkan segera kepadanya supaya dia tidak tertunggu-tunggu. Setelah itu buatlah perjanjian yang baru dengannya.

Saya menasihati diri sendiri dan tulisan ini menjadi motivasi kepada diri sendiri untuk menjadi insan yang sentiasa menepati janji selaras dengan akhlak Islam. Mudahan ianya turut bermanfaat kepada para pembaca.

Tanamkanlah azam untuk tidak mengunakan istilah ‘janji melayu’ lagi pada masa akan datang.

Posted in Uncategorized | 2 Komen